Wednesday, 12 August 2015

Perkara yang ibu boleh lakukan jika gigi anak tercabut

Keadaan gigi setelah dimasukan semula

Semua parents boleh mempelajari info yang sangat berguna ini jika terjadi kepada anak kita.

Baru-baru ni, ada seorang patient berumur 13 tahun datang bersama ibunya. Sejurus masuk, ibunya terus hulurkan sebatang gigi yang dibalut dalam tisu.

Bila diperiksa, boleh nampak dengan jelas gigi depan adik ni dah hilang sebatang. Bukan gigi patah atau gigi sumbing ye, giginya memang sebiji 'terkeluar' dari soket gusi .

Ceritanya, si anak terjatuh di taman permainan semalam dan giginya 'terkeluar'. Dia kutip gigi tu, dan terus bawa balik ke rumah. Di rumah, ibunya cuci gigi tu dengan air paip dan 'Colgate', dan balut dalam tisu untuk semalaman. Keesokan harinya baru datang ke klinik untuk dapatkan rawatan.
Hmm, tak boleh buat camtu ye tuan-tuan dan puan-puan.. Salah caranya tu. Silap-silap gigi tu dah tak boleh pakai lagi dah.

Sepatutnya perlu melakukan langkah di bawah

Hmm, ramai yang tak tahu nak buat apa kalau jadi kecederaan camni. So, apa yang sepatutnya kena buat? 

1. Kutip gigi yang tercabut itu dengan segera. 
2. Pegang gigi pada bahagian 'kepala gigi yang warna putih' tu. Jangan sesekali pegang pada bahagian akar gigi! 
3. Kalau kotor, lalukan gigi di bawah aliran air sejuk bersih selama 10 saat dan cuba masukkan balik gigi kat dalam soket gusi. 
4. Kalau gigi boleh dimasukkan, ambil sapu tangan bersih dan gigit sekuat-kuatnya 
5. Kalau tak berjaya masukkan gigi, terus rendam gigi tu dalam AIR LIUR (air liur sesiapa sahaja) atau SUSU SEGAR (fresh milk tau, bukan susu sejat atau susu pekat!) 
6. Terus pergi ke klinik untuk rawatan, seelok-eloknya dalam masa 30 minit. Jangan tunggu esok baru nak jumpa doktor! 

Kalau gigi tu dihandle dengan cara betul, doktor gigi boleh letak balik gigi tu dalam soket gusi dan pasang 'besi sementara' untuk stabilkannya. Kemudian, doktor akan buat rawatan akar dan pantau gigi tu dalam masa 6 minggu. Kalau bernasib baik, gigi tu akan pulih dan boleh guna macam biasa balik..

Ibu-ibu, bapak-bapak dan guru-guru kena ambik tahu pasai ni naaaa ☺
P/s: Oh yaa, nama 'sains' yang kita panggil untuk kecederaan camni ialah 'Tooth Avulsion'. Boleh google kalau nak tahu lagi lanjut. Hehe

Kredit - Dipetik dari FB Ainaa Nadia

Tuesday, 11 August 2015

Demam campak membawa maut

Biji demam campak - Gambar Hiasan

BARU-BARU ini, dilaporkan terdapat peningkatan kes demam campak (measles) di Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur iaitu sebanyak 73 kes dilaporkan sehingga 30 Jun 2015, berdasarkan kenyataan rasmi Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM).

Daripada kes tersebut, sebanyak 79 peratus daripada kes demam campak yang menghidap pesakit seawal usia sebulan hingga 43 tahun didapati tidak mendapat suntikan vaksin campak iaitu MMR yang diberikan sebanyak dua dos kepada kanak-kanak di bawah Jadual Imunisasi Kanak-Kanak Kebangsaan iaitu pada umur 12 bulan dan 7 tahun.

Peningkatan peratusan itu amat membimbangkan kerana komplikasi demam campak yang berbahaya terutama jika dihidapi kanak-kanak. Antaranya, jangkitan kuman pada otak atau masalah pernafasan yang bukan saja memudaratkan kesihatan dan memberikan kesan jangka panjang, malah boleh membawa maut!

Pakar Pediatrik Pusat Perubatan Tropicana, Dr. Ling Shih Gang berkata, tiada rawatan khas untuk demam campak, sekadar rawatan untuk merawat simptom dan komplikasinya yang paling berisiko untuk pesakit dalam kalangan kanak-kanak.

“Tiada rawatan spesifik terhadap demam campak, sama seperti kebanyakan virus lain seperti denggi. Antibiotik sememangnya tiada kesan kepada campak kerana antibiotik melawan kuman bakteria.
“Jadi, kita memberi rawatan simptomatik bagi mengawal simptom penyakit tersebut. Sebagai contoh, ubat demam bagi meredakan demam dan ubat sapu bagi mengurangkan kegatalan ruam campak dan sebagainya.

Komplikasi yang paling merisaukan adalah ensefalitis iaitu jangkitan kuman otak. Ia berlaku kepada satu dalam 1,000 kanak-kanak yang menghidap demam campak serta boleh menyebabkan kerosakan otak dan maut.

“Jangkitan paru-paru yang boleh dihidapi pesakit demam campak juga boleh membawa maut. Contohnya, jika kuman tersebut menyerang paru-paru, kita tidak boleh beri oksigen untuk memulihkan pernafasan atau menggunakan mesin bagi bantuan untuk bernafas,” terangnya ketika ditemui di Pusat Perubatan Tropicana, Petaling Jaya, baru-baru ini.
Virus

Demam campak adalah sejenis penyakit yang disebabkan oleh virus paramyxovirus. Ia berjangkit melalui udara iaitu apabila bernafas dengan udara yang mengandungi kahak, air liur, hingus pesakit campak dalam lingkungan satu meter atau tersentuh dengan cecair badan pesakit demam campak. Untuk orang dewasa, ia juga boleh berjangkit melalui hubungan suami isteri.
Kanak-kanak paling kerap menghidap demam campak kerana virus ini sangat senang berjangkit. Namun menurut Dr. Shih Gang, Malaysia sudah memulakan program imunisasi terhadap campak sejak dahulu lagi iaitu sekitar tahun 1970-an.

“Vaksin untuk demam campak diberikan dalam satu vaksin yang dipanggil MMR iaitu gabungan tiga vaksin campak, benguk dan rubela. Biasanya diberi dalam usia satu tahun dan diulangi dos kedua pada usia tujuh tahun.

“Sebelum 2003, suntikan MMR diberi satu dos sahaja di Malaysia iaitu ketika usia setahun. Namun didapati kira-kira 10 hingga 15 peratus kes demam campak tetap berlaku bila usia menginjak tujuh tahun dan ia dipanggil breakthrough infection.

“Mengikuti saranan Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) untuk melakukan dos tambahan pada usia tujuh tahun, kes breakthrough infection dilihat berkurangan dengan banyak,” ujarnya.
Sekali gus, Dr. Shih Gang tidak menyangkal mereka yang hanya mendapat suntikan vaksin sekali sahaja sebelum tahun 2003 yang kini dianggarkan berusia 19 tahun ke atas, berisiko menghidap demam campak.

Namun ujarnya, buat masa ini, tiada saranan untuk diberikan dos kedua suntikan vaksin MMR kepada golongan tersebut kerana ia lebih berisiko untuk golongan kanak-kanak.


Jangan ambil mudah demam campak

Symptom demam campak
Apakah itu demam campak?

Campak ialah penyakit yang sangat mudah berjangkit yang menyebabkan ruam, demam dan batuk. Ia adalah jangkitan akut pada kanak-kanak disebabkan virus measles. Pesakit demam campak biasanya mengalami gejala jangkitan saluran pernafasan dan disertai ruam pada kulit. Penyakit ini sangat mudah menular kepada orang lain melalui titisan cecair dari mulut dan hidung semasa bercakap, batuk atau bersin. Bagaimanapun kebanyakkan kanak-kanak di Malaysia telah kebal (imun) pada penyakit ini sejak adanya program campak kebangsaan.

Tanda-tanda anak anda kena demam campak

Tanda-tanda demam campak ialah antara 10 hingga 12 hari selepas dijangkiti penyakit, pesakit mula menunjukkan tanda dan gejala demam campak seperti:
1. Demam tinggi
2. Batuk, selesema dan sakit tekak
3. Mata berair dan sensitif kepada cahaya
4. Sakit otot

Ia mudah berjangkit kepada kanak-kanak kecil bawah 10 tahun. Kanak-kanak berasa tidak selesa apabila mengidap campak. Anak anda mungkin hendak berada di katilnya ketika suhu badannya tinggi.

Bagaimanakah jangkitan awal berlaku

Hari pertama iaitu tanda-tanda awal bayi didapati demam meragam, letih lesu disertai dengan selsema, batuk, mata berair dan merah. Juga terdapatnya bintik putih yang dikelilingi warna merah di bahagian dalam mulut kanak-kanak.

Bertindak segera

✔ Bawa anak berjumpa doktor
✔ Sentiasa lap badan untuk menyejukkan badannya
✔ Sentiasa periksa suhu badan anak anda. Sekurang-kurangnya dua kali sehari. Dan setiap lima atau    enam jam apabila demamnya tinggi. Sentiasa berada di sisinya.
✔ Berikan dia minum air banyak supaya demam cepat turun dan air serta zat besi yang hilang akibat muntah dan cirit-birit mendapat gantian.
✔ Pastikan suhu badan turun dengan lap badan anak dengan air sejuk. Pakaikan dia pakaian yang      nipis. Asingkan kanak-kanak ini dari anak-anak yang lain.

Bila Demam Kebah?

Pada hari keempat demam mula turun dan kira-kira pada hari kelima ruam mula timbul dari kepala turun ke tangan, badan dan kaki. Enam atau tujuh hari selepas ruam campak keluar barulah ruam campak yang halus dan bertompok-tompok merah mula menghilang.

Adakah Ada Komplikasi Sampingan?

Ya. Taraf kesihatan dan pemakanan rendah anak yang diserang campak itu mudah diserang komplikasi sampingan seperti jangkitan telinga, jangkitan paru-paru, jangkitan otak dan lain-lain, maka lambatlah mereka sembuh.

Bolehkah demam campak dicegah?

Boleh. Demam campak boleh dicegah melalui pemberian suntikan imunisasi MMR (measles, Mumps and Rubella) pada usia 12 bulan dan kemudian ketika berumur 7 tahun. MMR adalah vaksin yang selamat. Sekiranya anda terdedah kepada pesakit demam campak sila dapatkan nasihat doktor atau petugas kesihatan

Kenapa perlu rawatan segera?

*Segera dapatkan rawatan di pusat kesihatan berdekatan. Jika tidak menerima rawatan seperti ubat antibiotik, keadaan boleh bertambah teruk. Namun, ubat antibiotik bukan semata-mata untuk merawat penyakit tetapi juga untuk mengelakkan dari komplikasi atau jangkitan sampingan yang mungkin menyerang.

*Jika tiada sebarang rawatan diberikan ia boleh membawa maut. Maut boleh berlaku tiga atau empat hari selepas jangkitan paru-paru dan jangkitan ini boleh berlaku selepas ruam campak hilang.
*Juga seminggu atau dua selepas campak sembuh tiba-tiba si pesakit menunjukkan tanda-tanda sistem urat sarafnya terganggu. Malah ada juga kanak-kanak tidak sedarkan diri buat beberapa minggu atau kadangkala mengakibatkan lumpuh. Bagaimana 60 hingga 70 peratus daripada kanak-kanak yang diserang campak sembuh sementara 10 peratus lagi diserang komplikasi di samping demam campak.

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...