![]() |
Biji demam campak - Gambar Hiasan |
BARU-BARU ini, dilaporkan terdapat peningkatan kes demam campak (measles) di Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur iaitu sebanyak 73 kes dilaporkan sehingga 30 Jun 2015, berdasarkan kenyataan rasmi Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM).
Daripada kes tersebut, sebanyak 79 peratus daripada kes demam campak yang menghidap pesakit seawal usia sebulan hingga 43 tahun didapati tidak mendapat suntikan vaksin campak iaitu MMR yang diberikan sebanyak dua dos kepada kanak-kanak di bawah Jadual Imunisasi Kanak-Kanak Kebangsaan iaitu pada umur 12 bulan dan 7 tahun.
Peningkatan peratusan itu amat membimbangkan kerana komplikasi demam campak yang berbahaya terutama jika dihidapi kanak-kanak. Antaranya, jangkitan kuman pada otak atau masalah pernafasan yang bukan saja memudaratkan kesihatan dan memberikan kesan jangka panjang, malah boleh membawa maut!
Pakar Pediatrik Pusat Perubatan Tropicana, Dr. Ling Shih Gang berkata, tiada rawatan khas untuk demam campak, sekadar rawatan untuk merawat simptom dan komplikasinya yang paling berisiko untuk pesakit dalam kalangan kanak-kanak.
“Tiada rawatan spesifik terhadap demam campak, sama seperti kebanyakan virus lain seperti denggi. Antibiotik sememangnya tiada kesan kepada campak kerana antibiotik melawan kuman bakteria.
“Jadi, kita memberi rawatan simptomatik bagi mengawal simptom penyakit tersebut. Sebagai contoh, ubat demam bagi meredakan demam dan ubat sapu bagi mengurangkan kegatalan ruam campak dan sebagainya.
“Komplikasi yang paling merisaukan adalah ensefalitis iaitu jangkitan kuman otak. Ia berlaku kepada satu dalam 1,000 kanak-kanak yang menghidap demam campak serta boleh menyebabkan kerosakan otak dan maut.
“Jangkitan paru-paru yang boleh dihidapi pesakit demam campak juga boleh membawa maut. Contohnya, jika kuman tersebut menyerang paru-paru, kita tidak boleh beri oksigen untuk memulihkan pernafasan atau menggunakan mesin bagi bantuan untuk bernafas,” terangnya ketika ditemui di Pusat Perubatan Tropicana, Petaling Jaya, baru-baru ini.
Virus
Demam campak adalah sejenis penyakit yang disebabkan oleh virus paramyxovirus. Ia berjangkit melalui udara iaitu apabila bernafas dengan udara yang mengandungi kahak, air liur, hingus pesakit campak dalam lingkungan satu meter atau tersentuh dengan cecair badan pesakit demam campak. Untuk orang dewasa, ia juga boleh berjangkit melalui hubungan suami isteri.
Kanak-kanak paling kerap menghidap demam campak kerana virus ini sangat senang berjangkit. Namun menurut Dr. Shih Gang, Malaysia sudah memulakan program imunisasi terhadap campak sejak dahulu lagi iaitu sekitar tahun 1970-an.
“Vaksin untuk demam campak diberikan dalam satu vaksin yang dipanggil MMR iaitu gabungan tiga vaksin campak, benguk dan rubela. Biasanya diberi dalam usia satu tahun dan diulangi dos kedua pada usia tujuh tahun.
“Sebelum 2003, suntikan MMR diberi satu dos sahaja di Malaysia iaitu ketika usia setahun. Namun didapati kira-kira 10 hingga 15 peratus kes demam campak tetap berlaku bila usia menginjak tujuh tahun dan ia dipanggil breakthrough infection.
“Mengikuti saranan Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) untuk melakukan dos tambahan pada usia tujuh tahun, kes breakthrough infection dilihat berkurangan dengan banyak,” ujarnya.
Sekali gus, Dr. Shih Gang tidak menyangkal mereka yang hanya mendapat suntikan vaksin sekali sahaja sebelum tahun 2003 yang kini dianggarkan berusia 19 tahun ke atas, berisiko menghidap demam campak.
Namun ujarnya, buat masa ini, tiada saranan untuk diberikan dos kedua suntikan vaksin MMR kepada golongan tersebut kerana ia lebih berisiko untuk golongan kanak-kanak.